KUCHING:  Sebagai langkah mengukuhkan parti susulan krisis dan peletakan jawatan dan pemecatan beberapa pemimpin akar umbi, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak kini mengisi kekosongan jawatan terbabit.

Menurut Ketua Penerangan dan Komunikasi PKR Sarawak, Abun Sui Anyit, mesyuarat MPN PKR Sarawak  semalam dimaklumkan kekosongan jawatan  berkenaan akan diganti dengan pemimpin baharu yang lebih setia kepada parti. 

“Mereka yang dilantik ini akan membantu menyelaraskan dan bekerjasama dengan ahli jawatankuasa (AJK) cabang-cabang yang memerlukan,” katanya menerusi satu kenyataan.

PKR berdepan krisis susulan terdapat dua puak, iaitu antara Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. 

Azmin  telah menyertai Bersatu untuk membentuk kerajaan di bawah kepemimpijnan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin..

Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang dilantik sebagai pemimpin cabang Lubok Antu, John Jeffrey (Puncak Borneo), Dominique Ng Kim Hoe (Bandar Kuching), Noel Changgai Bucking (Betong), Robert Liam Chim Chuang (Sibu), Upom Uget (Tanjong Manis), Japar Suyut (Lawas) dan Tay Wei Wei (Sri Aman). 

Pemerhati politik berkata, langkah yang diambil oleh PKR Sarawak itu sebagai satu strategi mengukuhkan kedudukan parti bagi memulihkan imejnya  yang tercalar dan mengembalikan keyakinan rakyat dan penyokongnya.

Ia bakal berdepan cabaran besar menjelang pilihan raya negeri akan datang apabila tiga orang Adunnya tidak lagi bersama-sama parti itu.

Mereka ialah Adun Ba Kelalal Baru Bian yang juga Pengerusi PKR, Adun Krian Ali Biju dan Adun Batu Lintang  See Chee How.