KUALA LUMPUR: Pihak kerajaan menarik balik kelonggaran kepada suami isteri untuk rentas negeri seminggu sekali bagi tujuan menyambut hari raya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia selari dengan pengumuman terbaharu kerajaan yang tidak lagi membenarkan pergerakan sedemikian dilakukan atas apa jua alasan kecuali kematian atau kecemasan.

“Tidak kira suami isteri atau sesiapa sahaja. Apabila kita kata tiada lagi pergerakan rentas negeri, bermakna tiada lagi pergerakan rentas negeri. Sesiapa sahaja.

“Tertakluk kepada perkara yang saya umumkan semalam,” tegasnya semasa sidang media hari ini.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada semalam memutuskan tiada lagi kebenaran rentas negeri diberikan susulan kedegilan orang ramai yang mahu pulang ke kampung untuk berhari raya walaupun negara masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Justeru, kenderaan-kenderaan yang cuba melakukan pergerakan rentas negeri akan diarah berpatah balik dan dikompaun.