KARACHI: Kementerian Kesihatan Sindh pada Sabtu mengesahkan kemalangan pesawat Pakistan International Airlines (PIA) di Karachi mengorbankan 97 orang dan dua daripadanya selamat.

Memetik AFP, jenazah penumpang dan krew ditemui di lokasi kemalangan tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah.

Proses memindahkan jenazah dan mangsa yang selamat bermula Jumaat dan berakhir dinihari Sabtu.

Pesawat Airbus A320 penerbangan PK8303 mengangkut 91 penumpang dan lapan krew

Pengarah PIA, Arshad Mahmood Malik dipetik berkata, “usaha memindahkan mangsa dilakukan sehingga semua jenazah ditemui. Penumpang yang terselamat ialah Presiden Bank Punjab, Zafar Masud.

Kebanyakan penumpang terdiri daripada mereka yang hendak pulang menyambut Aidilfitri.

Pesawat tersebut berlepas dari Lahore dan dijadualkan mendarat 2.30 pagi waktu Karachi dan nahas berlaku hanya beberapa saat sebelum mendarat.

Juruterbang Sajjad Gull dilaporkan sempat melakukan beberapa usaha pendaratan, namun selepas itu pesawat terjatuh sebelum mencapai mendarat di lapangan terbang.

Setakat ini pesawat disyaki mengalami kerosakan enjin.

Laporan menyebut juruterbang sempat menyampaikan mesej darurat kepada petugas menara lalu lintas udara sebelum hilang dari radar.