Ahli Parlimen Selangau Baru Bian  kini semakin ligat mengkritik kerajaan dan  GPS.

Bagi bekas Menteri Kerja Raya yang hanya menduduki kerusi itu selama 22 bulan di bawah pemerintahan PH, dia mempunyai lebih banyak masa untuk mencari kelemahan kerajaan dan GPS selepas hilang jawatan penting itu.

Baru, saya percaya, tidak terlintas bahawa jawatan sebagai menteri hilang dalam sekelip mata.

Adakah  Adun Ba Kelalan itu kecewa?

Sebagai manusia, tentu beliau kecewa, apatah lagi beliau baharu hendak merasai nikmat sebagai menteri.

Menurut bekas Menteri Kerja Raya itu, pengagihan jawatan menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet Persekutuan baru-baru ini tidak mencerminkan kerjasama erat antara empat parti GPS – PBB, PRS, SUPP dan PDP.

Namun, beliau lupa ketika beliau berada di dalam kerajaan PH,  hanya seorang menteri dan seorang timbalan menteri dari Sarawak, iaitu beliau sendiri dan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen.

Memang, bak kata mahagurunya, Tun Dr Mahathir, dengan sedikit penyesuaian, manusia mudah lupa.

Mengapa pula waktu itu beliau mendiamkan diri, sedangkan rakyat Sarawak mengkritik langkah PH yang bagai menganaktirikan Sarawak.

Adakah keadaan waktu itu membayangkan tidak terdapat kerjasama erat dalam kalangan parti komponen PH, terutama dengan  entiti dari Sarawak?

Baru turut mengecam pemimpin GPS yang didakwanya menafikan mereka adalah sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, GPS tidak boleh ‘berkongsi katil dengan Umno dan PAS’ dan tetap menegaskan mereka ‘belum berkahwin’.

Menurut  Naib Presiden PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, seperti dipetik sebuah portal, Baru, tidak layak untuk memberi komen tentang perkara itu selepas pemimpin GPS menafikan bahawa ia sebahagian daripada kerajaan PN.

Bagi Karim,  Baru sepatutnya mempunyai “sedikit prinsip” dalam perjuangan politik.

Katanya, sebagai peguam, Baru sepatutnya tahu membezakan antara Perjanjian Persefahaman dengan perjanjian.

Kini, jelas Karim, dia membidas GPS, tetapi bekas Pengerusi PKR Sarawak itu lupa beliau juga sekatil dengan PAS apabila berada dalam PKR dan dalam Pakatan Rakyat.

Malah, bagi Karim, Baru kini dilihat sebagai ‘katak politik’ dalam perjalanan politiknya.

Difahamkan pemimpin Orang Ulu itu pernah menyertai Star, PBDS, dan parti lain.

Baru sebelum ini dilihat sebagai penyokong kuat Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Azmin berseteru dengan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah, Baru beberapa kali tidak hadir dalam persidangan peringkat negeri dan kebangsaan parti itu — sesuatu yang disifatkan tidak patut.

Selepas itu,  Azmin dan penyokong beliau menyertai Bersatu dan dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.

Ya, seperti yang kita sedia maklum, Baru menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad, dan pada persidangan Dewan Rakyat 18 Mei lalu, duduk sebagai Ahli Parlimen Bebas.

Kini, Baru tanpa parti dan belum mengumumkan secara ramsi ke mana haluannya. 

Tidak mungkin beliau selamanya menjadi wakil rakyat Bebas.

Terdapat desas-desus kuat bahawa beliau akan menyertai PSB pimpinan Datuk Seri Wong Soon Koh.

Sudah tentu baru meletakkan harapan tinggi  untuk kembali berkuasa.

Tetapi untuk sementara waktu, beliau tentu akan sentiasa berusaha untuk mencari sebarang kelemahan kerajaan.