KUALA LUMPUR: Menjelang sambutan Aidilfitri esok, terdapat segelintir pihak yang masih tidak berputus asa mencuba nasib melakukan perjalanan rentas negeri menghala ke kampung halaman masing-masing.

Sukar difahami kenapa masih berlakunya pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) walaupun peringatan demi peringatan oleh pihak berkuasa agar tiada pergerakan rentas negeri dilakukan bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pada Khamis sahaja, sebanyak 2,539 kenderaan cuba merentas negeri di arah berpatah balik kerana tidak mempunyai kebenaran, malah menggunakan pelbagai alasan remeh.

Pada sidang media harian mengenai PKPB semalam, Ismail Sabri mendedahkan Melaka mencatatkan cubaan rentas negeri tertinggi iaitu 886 kes diikuti Perak (362 kes) dan Pulau Pinang (284 kes) walaupun kerajaan sebelum ini mengumumkan tiada lagi kebenaran diberikan.

Selain itu, Ismail Sabri  seperti dipetik Bernama turut menegaskan bahawa kelonggaran kepada pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan untuk melakukan perjalanan rentas negeri seminggu sekali terbatal selari dengan pengumuman kerajaan yang tidak lagi membenarkan perjalanan sedemikian dilakukan atas apa jua alasan kecuali kematian atau kecemasan.

Katanya Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Khamis (20 Mei) memutuskan tiada lagi kebenaran perjalanan rentas negeri diberikan susulan kedegilan orang ramai yang mahu pulang ke kampung untuk berhari raya walaupun negara masih melaksanakan PKPB.

Kerajaan yang sebelum ini masih berlembut bagi memastikan rakyat negara ini dapat menyambut Aidilfitri, mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) antaranya ziarah hanya pada hari pertama dengan kehadiran tidak lebih 20 orang dalam kalangan keluarga terdekat dalam tempoh sehari, tiada rumah terbuka serta tiada bersalam-salaman.

Kerajaan juga memutuskan bermalam turut dikira melanggar SOP yang dikeluarkan kerajaan bagi aktiviti ziarah-menziarahi sempena sambutan Aidilfitri.