KUCHING: Walaupun terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan, rakyat di negeri ini digalakkan terus mengamalkan kesederhanaan. 

Justeru, sempena Hari Raya Aidilfitri  yang disambut  umat Islam esok selepas sebulan berpuasa pada bulan Ramadan, Pengerusi PKR Sarawak, Larry Sng mengajak seluruh rakyat pelbagai kaum di Sarawak untuk terus mengamalkan sikap sederhana dalam apa-apa juga tindakan. 

“Sarawak  negeri yang berbudaya tinggi dan acap kali disebut sebagai negeri contoh berkeharmonian yang tinggi bagi negeri-negeri  lain di Malaysia, dan saya berkeyakinan bahawa seluruh rakyat Malaysia akan meneruskan budaya baik ini,” katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri esok.

“Saya ingin mengajak seluruh rakyat, khasnya di Sarawak untuk terus mengamalkan  sikap bersederhana dalam apa-apa jua tindakan,” katanya.

Kata Larry, kita tahu kebiasaannya Hari Raya Aidilfitri di negara ini disambut dengan sangat meriah terutama sekali di Sarawak.

“Kunjung-mengunjungi dari segenap lapisan masyarakat adalah tradisi yang sangat indah,” ujarnya. 

Larry  yang juga Ahli Parlimen Julau mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri 2020 kepada seluruh masyarakat beragama Islam di negara ini khasnya negeri Sarawak. 

Kebiasaannya kata beliau, Hari Raya Aidilfitri disambut dengan begitu meriah terutama di Sarawak dengan aktiviti  rumah terbuka ziarah-menziarahi. 

Bagaimanapun katanya tahun ini, pandemik Covid-19 tidak mengizinkan rakyat meneruskan tradisi indah itu. 

“Pada tahun 2020 ini kita berasa dukacita  kerana keadaan pandemik Covid-19 tidak mengizinkan kita untuk melakukan tradisi indah itu seperti kebiasaannya,” katanya.

Jelas beliau, himpunan besar telah dilarang oleh kerajaan bagi memastikan rantaian penyebaran  virus tersebut dapat diputuskan.

“Kita terpaksa akur, kerana keselamatan rakyat adalah sangat penting  dan merupakan tanggungjawab kita semua,” katanya.

“Kita terpaksa akur, kerana keselamatan rakyat adalah sangat penting dan merupakan tanggungjawab kita semua,” ujarnya. 

“Meskipun demikian, hubungan kita tetap terjalin melalui kaedah-kaedah lain seperti menerusi pelbagai cara seperti Facebook, WhatsApp, Instagram dan sebagainya untuk menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya,” katanya. 

Kata Larry lagi, selepas Aidilfitri akan berlangsungnya sambutan Hari Gawai Dayak dan beliau berharap pandemik ini tidak berpanjangan serta keadaan akan lebih selamat. 

Gawai Dayak akan diraikan oleh masyarakat Dayak di negeri ini pada 1 Jun deepan.

Kerajaan hanya membenarkan mereka meraikan perayaan itu dalam kalangan keluarga untuk sehari sahaja.