LIMBANG: Pada musim perayaan ini, kerajaan telah menetapkan 20 jenis barangan kawalan bagi Hari Raya Aidilfitri dan 22 jenis barangan kawalan bagi sambutan perayaan Gawai menerusi Skim Harga Maksimum.

Menurut Timbalan Residen Bahagian Limbang Sebi bin Abang, tempoh skim kawalan harga Hari Raya ini berkuatkuasa bermula 20 Mei hingga 3 Jun 2020 dan untuk perayaan Gawai pula berkuatkuasa dari 28 Mei dan berakhir 3 Jun 2020.

“Senarai barangan ini ada pertambahan dari senarai asal sebab mengambil kira keperluan atau pendapat ataupun permohonan daripada pihak pengguna sesuai dengan keadaan pada masa ini iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang perlu dipatuhi,” katanya ketika ditemui selepas di Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya dan Gawai 2020 Bagi Daerah Limbang anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Limbang pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau yang juga merangkap Pengerusi Hal Ehwal Pengguna Bahagian Limbang berpuas hati dengan hasil pemantauan yang telah dilaksanakan KPDNHEP Cawangan Limbang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama lagi bagi memastikan harga barangan terjamin.

“Alhamdulillah dari pemantauan pagi ini dan juga apa yang kita lihat dari hari ke hari, dalam tempoh bermulanya PKP itu peniaga tidak mengenakan harga yang sebarangan kerana pihak KPDNHEP sendiri dari masa ke semasa membuat pemantauan dan para peniaga memberikan kerjasama yang baik.

“Setiap dapatan yang kita perolehi hasil dari pemantauan itu kita akan maklumkan kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri di mana ianya turut dibincangkan dalam video conference yang kita adakan dari masa ke semasa,” ujarnya.

Secara keseluruhannya pengawalan harga di Limbang ini adalah mematuhi peraturan dan harga-harga yang telah ditetapkan oleh pihak KPDNHEP Cawangan Limbang.

Pada masa sama, KPDNHEP dan peniaga memberikan jaminan bahawa stok bekalan barangan untuk kedua-dua perayaan besar ini adalah mencukupi.