KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengulangi pendirian  memberi sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Mahyuddin Yassin.

Tujuannya adalah bagi mempertahankan dan melindungi hak dan kepentingan Sarawak.

Setiausaha Agung GPS Datuk Alexander Nanta Linggi menegaskan, ia juga demi kestabilan dan kelangsungan politik di negara ini.

“Persefahaman ini juga merupakan satu rangka sesebuah kerajaan yang berfungsi. GPS ialah satu anggota dalam Kerajaan Persekutuan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Kepemimpinan Tertinggi GPS yang dipengerusikan oleh  Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Jumaat.

GPS terdiri daripada PBB, PRS, SUPP dan PDP.

“GPS rakan kongsi dalam Kerajaan Persekutuan. GPS akan terus melindungi dan mempertahankan hak Sarawak mengikut Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan,” katanya lagi.

Kerajaan Persekutuan yang dibentuk Pakatan Harapan (PH) di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad tumbang pada Februari lepas apabila bekas Perdana Menteri itu meletakkan jawatan.

Berikutan itu, Muhyuddin dilantik sebagai Perdana Menteri dengan sokongan beberapa parti politik.