CALIFORNIA: Seorang lelaki California baru-baru ini berkongsi foto dirinya yang agak mengejutkan membabitkan kesan jangkitan virus korona pada badannya.

Mike Schultz, 43, menjadi mangsa Covid-19 dan setelah berjuang enam minggu di hospital berat badannya turun sehingga 20 kilogram.

Sebaik sahaja sembuh, jururawat yang bertugas di sebuah hospital di San Francisco ini berkongsi dua fotonya yang berbeza di akaun Instagramnya.

Satu foto diambil semasa di hospital dan satu lagi fotonya sebulan sebelum dia sakit.

Menurut Schultz memberitahu ketika mengambil foto di hospital itu, dia berasa begitu penat dan tidak mampu berdiri, namun dia tetap gagahkan diri mengambil foto tersebut.

Dia mahu berkongsi transformasi dirinya bagi memberi kesedaran kepada orang ramai betapa bahayanya virus ini dan ia boleh menjangkiti sesiapa sahaja.

Sebelum terkena virus itu berat badannya 190 paun atau 86 kilogram. Berat badannya menurun secara mendadak sehingga 63 kilogram selepas pulih dari sakit.

Schultz memberitahu dia mahu menunjukkan kepada orang ramai bagaimana sukar dan sakitnya terpaksa bergantung pada mesin ventilator.

Akibat virus ini dia juga dijangkiti pneumonia.

Schultz juga menangis melihat tranformasi dirinya yang begitu jauh berbeza berbanding ketika dia masih sihat dahulu.

Dia kini dalam proses pemulihan dan berazam mengembalikan kesihatannya sebaik mungkin.