KUCHING: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melahirkan rasa terkilan dengan dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberitahu harga ayam di bawah pemerintahan PH lebih murah (RM3 sekilogram) berbanding sekarang (RM7.50 sekilogram).

Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, dakwaan itu tidak berasas dan mengelirukan orang awam sekali gus menyebabkan KPDNHEP termasuk pegawai dan penguat kuasa yang bertungkus lumus menjalankan tanggungjawab selama ini dikritik dan menerima tohmahan negatif.

“Tuduhan itu tidak adil memandangkan pegawai dan penguatkuasa KPDNHEP sanggup membahayakan keselamatan serta kesihatan diri demi menjalankan tugas dengan mengadakan perbincangan, perancangan, pemeriksaan serta operasi penguatkuasaan dalam tempoh yang sukar ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

“Saya ingin mengingatkan beliau bahawa pemeriksaan rekod yang diwartakan sebelum ini mendapati sebenarnya harga maksimum ayam ketika itu adalah RM7.50 sekilogram sama seperti penetapan harga maksimum dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) ketika ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit menambah, penetapan harga barangan pengguna bukan bersifat politik sebaliknya menggunakan mekanisme tertentu apabila ditetapkan oleh pegawai pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan malah ia digunakan ketika zaman pentadbiran PH.

“Dalam SHMMP kali ini, KPDNHEP membuat penambahan barang kawalan iaitu sebanyak 35 barangan berbanding 27 barangan pada 2019 ketika negara berada di bawah pentadbiran PH.

“Dakwaan sesetengah pihak bahawa harga barangan termasuk ayam meningkat ketika ini sebenarnya adalah bersifat tanggapan semata-mata kerana hakikat sebenar, harga ini ditentukan oleh teori asas ekonomi iaitu faktor permintaan dan bekalan,” tegasnya.

Katanya lagi, hujah harga yang agak murah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tidak sesuai digunakan kerana ketika itu kerana permintaan menurun disebabkan banyak aktiviti perniagaan dan kehidupan harian rakyat disekat.

“Ia menyebabkan lebihan bekalan, seterusnya memaksa peniaga dan pembekal menurunkan harga.

“Keadaan ketika ini agak berbeza kerana selepas kelonggaran diberikan melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kebanyakan aktiviti ekonomi dan kehidupan rakyat sudah kembali seperti biasa,” jelasnya.

Tambah Alexander, dengan sambutan perayaan yang semakin hampir, permintaan terhadap barangan juga meningkat, sekali gus menyebabkan harganya kembali seperti sedia kala.

“Menyedari harga barangan boleh melambung jika tidak dikawal, KPDNHEP mengambil langkah proaktif mengadakan SHMMP yang sebenarnya menjadi rutin sejak sekian lama, setiap kali menjelang musim perayaan.

“Justeru, tidak timbul isu KPDNHEP lambat bertindak dalam mengawal harga barangan dan usaha mengawal harga barang ini sebenarnya bukan hanya dilakukan semata-mata menjelang musim perayaan, sebaliknya sejak PKP dilaksanakan bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan tiada kenaikan harga berlaku,” ujarnya.

Terdahulu, Anwar dalam satu sesi ‘live’ di laman Facebook rasminya mendakwa KPDNHEP lambat bertindak dalam mengawal harga barangan menjelang musim perayaan kali ini.