KUCHING: Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap kesulitan dihadapi rakyat di negeri ini semenjak PKP dan PKPB, Kerajaan Sarawak telah melaksanakan program Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 1.0, BKSS 2.0 dan BKSS 3.0 untuk meringankan beban rakyat, kata Ketua Menteri.

“Saya berharap bantuan-bantuan langsung dan tidak langsung melalui BKSS 1.0, BKSS 2.0 dan BKSS3.0 ini dapat meringankan sedikit kesulitan yang dihadapi semua,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri esok. 

Kata Abang Johari, Program BKSS merupakan langkah jangka pendek kerajaan untuk membantu rakyat, perniagaan dan industri kecil dan sederhana. 

Menurut Abang Johari, keseluruhannya sebanyak  RM2.6 bilion diagihkan untuk melaksanakan tiga pakej BKSS ini dengan hampir kesemua rakyat berumur 21 tahun ke atas telah dan akan menikmati bantuan ini. 

Jelas beliau, kerajaan telah  sedaya upaya menyediakan bantuan makanan kepada seluruh rakyat Sarawak khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman ketika PKP dilaksanakan. 

PKP mulai dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu dan dilanjutkan sebagai PKPB sehingga 9 Jun ini sebagai langkah membendung penularan Covid-19.

Selain itu,  jelasnya, kerajaan   telah membekalkan dua juta pelitup muka percuma kepada rakyat dan RM10 juta untuk menyediakan peralatan pelindung diri (PPE) kepada petugas kesihatan di barisan depan. 

“Sebagai sebuah kerajaan yang juga memikirkan impak jangka panjang Covid-19 kepada ekonomi negeri ini, program jangka panjang juga telah digubal untuk memastikan ekonomi Sarawak terus mampu berkembang sehingga 2030,” katanya.