KUCHING: Sarawak kembali merekodkan sifar kes positif baharu Covid-19 hari ini selepas satu kes direkodkan pada Jumaat, dengan jumlah keseluruhan kes kekal  545  sejak kes pertama dikesan pada 13 Mac lalu. 

Sebelum itu, Sarawak merekodkan tiada kes untuk tujuh hari berturut-turut.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata,  daerah Tebedu bertukar status kepada kawasan  hijau  selepas tiada kes dilaporkan dalam tempoh 14 hari. 

Dengan itu, jumlah daerah berstatus kuning setakat hari ini adalah tiga buah sahaja,  iaitu Kuching, Sibu dan Serian manakala lain-lain daerah adalah hijau. 

“Lima kes baru telah sembuh dan discaj hari ini dengan kesemuanya dari Hospital Umum Sarawak (HUS). Jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah sembuh dan discaj ialah sebanyak 465 kes atau 85.14 peratus,” kata JPBNS dalam satu kenyataan. 

“Manakala seramai 19 orang di bawah siasatan (PUI) dilaporkan dimana 133 kes PUI masih menunggu keputusan makmal,” katanya. 

JPBNS turut memaklumkan seramai 395 orang di bawah pengawasan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel hari ini bagi menjalani kuarantin.

Ini jelasnya,  menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 38  buah hotel ialah  2,665 orang dengan 9,075 PUS  tamat menjalani tempoh kuarantin. 

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak pula,  64 pesakit Covid-19 kini  dirawat di empat hospital iaitu HUS, Hospital Sibu, Hospital Bintulu dan Hospital Miri.