KUCHING: Bagaimanakah nasib sektor pelancongan di negeri ini selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir 12 Jun ini?

Sektor pelancongan akan bangkit kembali.

Setidak-tiidaknya itulah keyakinan Menteri pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau positif dan yakin bahawa Kerajaan Sarawak akan dapat mengembalikan sektor pelancongan ke atas landasan yang sewajarnya.

“Kita perlu menghidupkan kembali sektor ini dan menggerakkan industri budaya dan kesenian ke tahap sama seperti sebelum PKP,” katanya dalam sidang media di sini, Khamis.

Sektor pelancongan di seluruh dunia terpukul teruk oleh PKP dan penguncian susulan ancaman pandemik Covid-19 apabila sektor penerbangan dan perhotelan lumpuh.

Jelas Karim, kementeriannya membincangkan strategi untuk menggerakkan sektor pelancongan dan sukan.

Untuk rekod, Sarawak menyasarkan lima juta pelancong ke negeri ini pada tahun ini, tetapi ancaman pandemik menjejaskan sasaran berkenaan.

“Saya tak sabar lagi untuk melihat kedua-dua sektor itu dihidupkan kembali sebaik-baik sahaja PKPB ditarik balik. Kini kita masih mengadakan dialog dengan semua agensi di bawah kementerian bagaimana untuk bergerak ke hadapan sehingga tahun depan,” jelasnya.

Sebelum itu, Karim menyampaikan geran RM10,000 kepada 10 persatuan kebajikan untuk golongan kurang bernasib baik yang akan meraikan Hari Raya Aidilfitri.