KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),  namun itu tidak bermakna Hari Raya Aidilfitri tidak boleh disambut dengan meriah.

Jelas beliau, hari kemenangan umat Islam ini perlu disambut dengan penuh kesyukuran dalam suasana norma baru.

“Kita bakal menyambut hari raya setelah sebulan berpuasa… hari raya adalah hari kemenangan kepada kita. Jadi, kita perlu bersyukur dan menyambut hari kebesaran ini bersama-sama dalam norma baharu,” katanya dalam ucapan khas Hari Raya Aidilfitri.

“Kita boleh menyambut penuh kegembiraan walaupun ketika ini dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19 tapi sudah pastilah suasana yang diraikan berbeza dari dulu.

“… namun itu tidak bermakna kita tidak boleh sambut dengan penuh kegembiraan, maka bersyukurlah sewajarnya,” ujar beliau.

Bekas menteri besar Johor itu berpesan, walaupun orang ramai tidak boleh pulang ke kampung namun jangan sesekali melupakan sanak-saudara dan mereka yang memerlukan perhatian.

“Dengan itu, saya mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri kepada semua muslimin dan muslimat baik yang berada dalam mahupun luar negara,” katanya lagi.