KUCHING: Usaha hendaklah terus dipertingkatkan bagi membantu  golongan berpendapatan rendah, tidak kira kaum bumiputera atau bukan bukan bumiputera  di negeri ini bagi memungkinkan mereka mara ke hadapan seiring  kemajuan negara.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, keadaan  ada segolongan rakyat yang kekal ketinggalan daripada arus pembangunan, mestilah dielakkan.

“Kita telah menyaksikan bagaimana Sarawak banyak berubah daripada negeri paling mundur dalam tahun 60-an dan 70-an dan kini menjadi negeri paling progresif dan maju,” katanya.

“Pembangunan ekonomi Sarawak bukan sahaja makin aktif dan moden dalam negara, bahkan di rantau ini dengan pendapatan per kapita melonjak kepada lebih RM40,000.

“Oleh itu, kita harus bersyukur atas kejayaan mengangkat taraf hidup rakyat ini kepada paras yang lebih baik dan makmur lagi,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2020 yang dijangka disambut Ahad ini.