KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun  Abdul Taib Mahmud percaya sokongan rakyat yang padu kepada perjuangan Kerajaan Negeri selama ini akan terus kekal di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari dilantik menjadi Ketua Menteri keenam Sarawak pada 17 Januari 2017.

Menurut beliau, Sarawak  mempunyai agenda pembangunan bukan sahaja untuk mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi, tetapi juga menjadi negeri terkaya dan paling maju menjelang 2030.

Untuk itu katanya,  Abang Johari yang dilantik menjadi Ketua Menteri  telah melaksanakan beberapa program yang khusus untuk mentransformasikan pembangunan luar bandar.

Langkah tersebut jelas beliau dapat meneruskan perjuangan negeri untuk membawa Sarawak ke taraf yang lebih maju dan progresif.

“Saya juga mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada rakyat semua kerana telah sama-sama dapat mengikuti rentak pembangunan negeri ini dan sentiasa memberi sokongan kepada kerajaan negeri,” katanya. 

Tun Taib berkata demikian dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2020 yang dijangka disambut Ahad ini. 

“Saya berharap perpaduan dan suasana harmoni rakyat Sarawak akan terus kekal teguh dengan acuannya tersendiri ini,” katanya lagi.