MUKAH: Sekolah Kebangsaan Kampung Petanak menyantuni ibu bapa dan murid-murid sekolah berkenaan dengan mengadakan Program Prihatin COVID-19.

Menurut Guru Besar, Jamaliah Sahali, objektif program tersebut ialah bagi meringankan beban ibu bapa yang kebanyakkannya terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah dan tiada punca pendapatan.

“Semoga dengan sumbangan ini dapat meringankan beban ibu bapa dan waris sekolah ini, terutama dalam persediaan menyambut Hari Raya dan Hari Gawai,” tambah beliau.

Program yang diketuai oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Suliha Ramli yang melibatkan seramai 32 orang Guru-guru dan Staf Sokongan dan dibahagikan kepada empat kumpulan bagi memudahkan pengagihan sumbangan.

“Sumbangan ini adalah hasil derma ikhlas guru, staf sokongan dan bekas guru sekolah ini,” katanya.

Sumbangan yang berbentuk makanan tersebut diagihkan kepada 111 buah keluarga yang memerlukan serta lima orang Golongan Kurang Upaya di sekitar Kampung Petanak Mukah. Turut diagihkan bersama ialah Wang Zakat kepada 60 orang murid Islam sekolah berkenaan.

Manakala, menurut seorang ibu, Mak Nonen pula, beliau amat berterima kasih kepada pihak sekolah kerana berjaya menganjurkan program tersebut.

“Saya amat terharu atas sumbangan yang telah diberi. Semoga sumbangan ini dapat meneruskan kelangsungan dalam menempuhi PKPB ini. Saya juga berdoa supaya usaha murni warga SK Kampung Petanak ini diberkati,” ujar beliau.

Sebagai rekod, SK Kampung Petanak mempunyai seramai 28 orang guru, 4 staf sokongan dan 267 murid.

Gambar : Menyantuni… Kelihatan warga guru SK Kampung Petanak menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang memerlukan.