BETONG: Hari Raya makin dekat, Satu Syawal akan menjelma pada Ahad dan orang ramai pula semakin galak untuk mendekati premis bank.

Itu situasi yang dapat dilihat di sini apabila orang ramai membanjiri pekarangan Bank Simpanan Nasional ( BSN) sejak awal pagi tadi.

Orang ramai jelas semakin bersemangat dan berhajat untuk mendekati premis bank untuk berurusan bagi mendapatkan wang bantuan kerajaan yang sudah disalurkan ke dalam akaun penerima.

Malah kehadiran orang ramai semakin luar biasa apabila ada di antara mereka telah sanggup beratur dan menunggu di depan bank seawal jam 3.30 pagi.

Senario itu telah berlaku di Bank Simpanan Nasional (BSN) Betong sejak beberapa hari yang lalu.

Kebanyakan yang datang awal adalah mereka yang datang dari kampung atau daerah sekitar yang tidak mempunyai tempat atau premis bank untuk mengambil wang.

Seorang pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Endapiey Epah,40, memberitahu terdapat sekitar 300 orang telah beratur panjang di luar bank semata-mata untuk mendapatkan perkhidmatan bank ketika jam baharu sahaja pukul 6 pagi tadi.

Kata Endapiey, kehadiran golongan warga emas yang terpaksa melalui keadaan serupa sangat menyentuh rasa.

“Bagi penduduk di Pekan Betong sendiri mereka agak dekat dan boleh balik dahulu jika keadaan masih terlalu ramai orang.Namun bagi yang jauh mereka terpaksa berdepan keadaan itu.

“Keadaan itu bagi saya agak menyedihkan. Operasi bank hanya buka pukul 9 pagi. Jadi orang ramai kena menunggu beberapa jam di luar bank.Untuk mengelakkan letih orang ramai terpaksa duduk dahulu asalkan tempat tidak diambil orang lain. Saya harap sangat pihak tertentu ada cara atau pendekatan untuk mengatasi masalah ini,”ujarnya.