SIMANGGANG: Pembukaan pintu sempadan antara Sarawak Malaysia dan Kalimantan Barat, Indonesia dilaksanakan bagi tujuan penghantaran bekalan makanan untuk keperluan penduduk di Kalimantan Barat yang terjejas oleh penularan wabak Covid -19.

Residen, Bahagian Sri Aman, Indit Bangai dalam kenyataannya memberitahu persetujuan membuka pintu sempadan secara ‘One-Off- itu adalah atas dasar semangat kejiranan dan setiakawan di antara Sarawak dengan Kalimantan Barat serta kerjasama ekonomi di antara kedua – dua wilayah di bawah SOSEK MALINDO.

“Kerajaan Sarawak telah bersetuju dengan permohonan daripada Gabenor Kalimantan Barat untuk membuka pintu Sempadan di Lubok Antu – Nanga Nadai, Tebedu – Entikong dan Biawak – Aruk.

“Pembukaan pintu Sempadan Sarawak, Malaysia hanya untuk membekalkan barang makanan ke Kalimantan Barat, Indonesia ketika berlakunya Pandemik Covid-19.

“Aturan khusus pembukaan pintu sempadan dilaksanakan secara ‘One-Off’ untuk memberi kerjasama bagi memastikan proses penghantaran bekalan makanan ke Kalimantan Barat dapat dilaksanakan dengan lancar,”ujarnya.

Justeru untuk misi tersebut dua buah kontena yang membawa makanan ruji dan sebuah sebuah trak ( 10 tan) yang dikhaskan untuk membawa telur digerakkan ke sempadan Indonesia bagi tujuan penghantaran bahan makanan berkenaan semalam.

“Untuk kawasan Lubok Antu Malaysia – Nanga Nadai Indonesia saya hadir untuk tujuan itu bersama Bapa Adenan iaitu Pak Chamat di kawasan berkenaan.

“Dua buah kontena dan sebuah lori hanya dibenarkan sampai di ICQS Lubok Antu dan dari ICOS barangan tersebut di punggah masuk ke Lori/ Trak Tentera Negara Indonesia (TNI) untuk di bawah masuk ke PLBN Nanga Badau,” tambahnya.