TATAU: Sebanyak 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO’s) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus menerima cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dengan jumlah keseluruhan RM618,775.00 yang dibahagikan kepada dua sesi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak Datuk John Sikie anak Tayai mahu peruntukan MRP ini digunakan sebaik-baiknya demi kesejahteraan rakyat bersama.

“Gunakan sebaiknya-baiknya peruntukkan yang diagihkan untuk tujuan seperti baik pulih rumah panjang dan membeli alat binaan membina rumah panjang.

“Selain itu, boleh digunakan untuk tujuan meningkat tahap ekonomi seperti kegunaan membeli anak benih kelapa sawit dan anak pokok buah buahan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus 2020 di Pejabat Daerah Tatau pada Khamis.

Dalam pada itu, Datuk John Sikie meminta setiap pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mengadakan mesyuarat bersama penduduk rumah panjang masing-masing bagi membincangkan program dan aktiviti yang akan dilaksanakan menerusi peruntukkan MRP ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus turut mengingatkan masyarakat untuk tidak melakukan aktiviti kunjung mengunjung semasa sambutan Gawai tidak lama lagi.

“Tiada aktiviti kunjung mengunjungi semasa sambutan Gawai pada tahun.

“Sebaliknya, sambutan hanya di kalangan ahli keluarga terdekat sahaja,” ujarnya.

Masyarakat turut digesa terus mengamalkan penjarakan sosial, menggunakan hand sanitizer, kerap membasuh tangan dan menggunakan penutup hidung dan mulut serta mematuhi SOP PKPB yang ditetapkan kerajaan.