SRI AMAN: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Bahagian Sri Aman menyokong saranan kerajaan yang membenarkan kunjungan pada hari pertama sahaja untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai tahun ini.

Rata-rata mereka menyambut baik usaha kerajaan tersebut dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Dalam pada itu, Pemanca, Mas Shamsiah Maslem menyokong penuh saranan kerajaan yang menetapkan aktiviti ziarah-menziarahi hanya dibenarkan pada hari pertama sambutan Hari Raya Aidilfitri sahaja khususnya negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Jelasnya yang menetap di Kampung Hilir Sri Aman, sambutan Aidilfitri tetap meriah meskipun disambut dalam kalangan ahli keluarga sahaja.

Manakala, bagi Penghulu Abdul Samad Abdul Rahim memberitahu, meskipun kerajaan memberi kelonggaran untuk kunjungan terhad kepada 20 individu sahaja, namun penduduk mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti penjarakan sosial, mencuci tangan dan memakai penutup mulut dan hidung.

Sementara itu, Kaunselor Kunjang Nanang berharap, masyarakat Dayak di Sri Aman menyambut seruan kerajaan supaya menyambut Hari Gawai mengikut norma baharu.

Temenggong Dato Samuel Lawan turut senada dengan Kunjang supaya tidak menyambut Hari Gawai secara meriah, namun memadai dengan sambutan bersama ahli keluarga dengan sambutan sederhana sahaja.