KUCHING: Hari Raya Aidilfitri  pada tahun ini  disambut dalam keadaan yang amat berbeza tahun ini akibat penularan Covid-19, kata Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.

Menurut beliau, oleh sebab penyakit Covid-19 ini cepat merebak, kerajaan persekutuan dan negeri terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha memutuskan rantaian virus ini daripada terus merebak.

“Kita terpaksa meraikan Hari Raya Aidilfitri sesuai dengan keadaan baharu,” katanya dalam perutusan hari Raya Aidilfitri 2020 yang dijangka diraikan pada Ahad ini.

“Saya percaya cara kita meraikan Hari Raya Aidilfitri memerlukan kita memperelokkan cara kita bersuka ria bersama-sama sebagai rakyat Malaysia yang mencapai banyak kemajuan dan kemakmuran,’ katanya lagi.

PKP telah mulai dilaksanakan sejak 18 Mac lalu dan dijangka berakhir 9 Jun  depan.

“Oleh yang demikian, saya menasihati  seluruh rakyat Sarawak untuk terus duduk di rumah dan mematuhi arahan serta langkah-langkah yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tun Taib turut menasihati masyarakat agar sentiasa memakai pelitup muka, sarung tangan dan mengamalkan jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter, serta mengelak tempat sesak dengan pelbagai aktiviti.