LIMBANG: Sarawak Dayak Iban Association (SADIA) Pampang Limbang bersetuju dengan kenyataan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkenaan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai hanya dibenarkan pada hari pertama sahaja dan terhad kepada 20 orang ahli keluarga terdekat sahaja serta mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengerusinya, Jerry Seraie Ak Rantai berkata pihaknya turut menambah resolusi sambutan Gawai bagi memastikan SOP PKPB dipatuhi dalam mengekang penularan wabak COVID-19.

“Kami juga menambah resolusi yang lebih jelas lagi seperti yang telah dipersetujui iaitu orang luar dari daerah lain di Miri dan Lawas tidak digalakkan ke Daerah Limbang.

“Apabila kami merayakan Hari Gawai bermula petang atau malam 31 Mei, kami ada mengadakan makan-makan, tetapi tidak berkumpul di ruai sebaliknya makan dengan saudara dan ahli keluarga di bilik sendiri,” katanya dalam Sidang Media Sarawak Dayak Iban Association (SADIA) Pampang Limbang Berkaitan Pematuhan PKPB Semasa Sambutan Hari Gawai 2020 pada Khamis.

Dalam pada itu, SADIA Pampang Limbang mengesyorkan supaya setiap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Tuai Rumah (Tr) panjang membentuk atau mewujudkan satu komuniti bagi memastikan arahan dan SOP PKPB dipatuhi sepenuhnya.

Beliau turut menambah, pada Hari Gawai itu nanti setiap penduduk tidak digalakkan minum atau ngabang di ruai rumah panjang bagi mengelak pergaulan dan bersentuhan.

“Pada 1 haribulan, kami juga tidak menggalakkan orang rumah panjang minum atau ngabang dari ruai ke ruai, sebaliknya diadakan di bilik sendiri.

“Kami juga tidak menggalakkan rumah panjang lain datang ke rumah panjang yang lain jadi semua itu tidak digalakkan,” ujarnya.

Perayaan Gawai pada tahun ini disambut dengan amalan norma baharu seperti menjaga penjarakan sosial dan penjagaan kebersihan diri yang tinggi bagi memastikan dihindari COVID-19.