LIMBANG: Sebanyak 9 buah masjid, 45 surau dan 12 surau di dalam premis di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota menerima geran tahunan bernilai RM202,000.00.

Menurut Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, cek geran hanya diserahkan kepada Pengerusi Masjid, Penghulu selaku wakil surau-surau dalam kawasannya manakala surau-surau dalam premis diwakili oleh pegawai dari Jabatan Agama Islam Bahagian Limbang.

“Hari ini kita memberikan geran untuk masjid dan surau iaitu geran tahunan dan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga pengeluaran cek mengalami kelewatan kerana terpaksa menunggu giliran.

“Manakala geran untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan, Sekolah, KRT dan sebagainya memang ada tapi masih belum selesai di Kuching.

“Majlis penyerahan cek-cek tersebut nanti mungkin tidak boleh diadakan seperti biasa iaitu secara ramai-ramai dan geran ini adalah untuk aktiviti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan (Geran) Masjid dan Surau DUN Bukit Kota di Pejabat Residen Bahagian Limbang pada Khamis.

Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota menambah Kerajaan Sarawak akan terus melaksanakan aktiviti pembangunan bagi membolehkan kemudahan dan prasarana disiapkan untuk keperluan rakyat.

“Inshallah semua aktiviti akan diteruskan termasuk aktiviti pembangunan seperti aktiviti pembangunan yang telah diumumkan oleh kerajaan negeri, projek-projek RTP seperti buat dewan, buat gelanggang futsal dan sebagainya.

“Semua ini akan diteruskan selepas ini tapi kita masih tidak boleh membuat program yang besar-besar, kita akan membuat lawatan ke kampung-kampung,” ujarnya.

Apapun kehidupan perlu diteruskan dan pandai menyesuaikan diri dengan keadaan norma baharu bagi memastikan penularan wabak COBID-19 ini dihindari.