SIMANGGANG: Satu sesi Lawatan dan Tinjauan Pematuhan Premis Kerajaan Kepada Tatacara Bekerja Semasa PKPB telah dilakukan oleh Residen Sri Aman, Indit Bangai hari ini.

Tinjauan dilakukan jam 2.30 hingga jam 4 petang di premis Jabatan Kerja Raya (JKR) Sri Aman dan Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) di sini.

Indit memberitahu lawatan tersebut di lakukan bagi memastikan garis panduan sentiasa di patuhi oleh setiap premis Kerajaan.

“Apabila pejabat diarah untuk beroperasi semula maka pematuhan kepada arahan PKPB amat perlu diberi perhatian. Kakitangan awam ini perlu membiasakan diri dengan norma baharu seperti amalan jarak sosial yang selamat 1 meter dan tidak bersentuhan serta selalu mencuci tangan dan memakai topeng muka (facemask).

“Perlu mencuci tangan dengan air atau hand sanitizer serta melakukan saringan kesihatan di pintu masuk premis dengan menyukat suhu badan. Tindakan sebegini perlu bagi memastikan wabak Covid-19 tidak menjangkiti dan membahayakan pekerja atau petugas di premis berkenaan.

“Selalulah berwaspada kerana wabak ini masih aktif dan sentiasa menunggu kesilapan dan kecuaian kita,” ujarnya.

Hadir sama ialah Jurutera Daerah Sri Aman, Christopher George. Setiausaha MDSA Sri
Aman, Phang Join Foong, ASP Tajim Rasit dari Balai Polis Sri Aman, dan Frank Lani wakil Pejabat Residen Sri Aman.