KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) melalui hasil kajian yang  dijalankannya mengambil langkah menyesuaikan penyampaian program dan perkhidmatan berdasarkan situasi semasa untuk memudahkan lagi urusan usahawan.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, perhatian khusus perlu diberikan bagi memastikan usahawan mendapat sokongan sewajarnya daripada kerajaan supaya ia dapat beroperasi seperti biasa.

“Adalah penting proses dan prosedur dipermudahkan serta ditambah baik agar akses kepada kemudahan kewangan atau perkhidmatan lebih cepat diterima dan akhirnya menghasilkan impak yang positif,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Katanya, penambahbaikan yang dilaksanakan membuktikan Medac dan agensi peka terhadap keperluan semasa selain memantapkan  perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

Sektor perusahaan kecil dan sederhana terjejas teruk susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP yang bermula 18 Mac lalu sebelum dilanjutkan hingga 9 Jun ini disebabkan penularan Covid-19.