KUCHING: Seramai 57 anakanak yatim dan kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan di Kompleks Kebajikan Laila Taib (Peryatim) menerima duit raya serta barangan keperluan harian daripada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

Pengerusi SEDC Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain berkata, sumbangan itu membawa kebahagian kepada kanak-kanak kurang bernasib baik di bawah program tanggungjawap sosial korporat (CSR) SEDC.

“Program kemasyarakatan ini dianjurkan pada setiap tahun yang turut melibatkan kakitangan agensi Kerajaan Negeri termasuk anak syarikat SEDC.

“Walaupun berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB), majlis penyerahan sumbangan ini tetap dijalankan secara ringkas dan hanya melibatkan beberapa wakil pengurusan Peryatim,” katanya ketika ucapan siaran langsung di Bangunan Peryatim di sini, kelmarin.

Tambah Abdul Aziz, walaupun kanak-kanak yatim di kompleks itu tidak dijemput hadir, namun majlis itu cukup bermakna kepada kakitangan SEDC kerana memberi peluang kepada mereka untuk menyampaikan sumbangan.

“Pada tahun-tahun sebelumnya, kami biasanya akan menjemput kanak-kanak dan penjaga mereka berbuka puasa dan menunaikan solat terawih, tetapi pada tahun ini acara seperti itu tidak dapat dilaksanakan kerana kita terpaksa mematuhi arahan PKPB.

“Kita berharap dan berdoa agar keadaan akan kembali seperti sedia kala supaya program seperti tahun lalu boleh diadakan pada tahun hadapan untuk meraikan kanak-kanak dan mereka boleh menghadiri majlis berbuka puasa di hotel bersempena majlis penyerahan sumbangan bulan Ramadan dan Hari Raya,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu, sebelum PKPB dilaksanakan, SEDC dan anak syarikatnya telah menganjur majlis penyampaian sumbangan di bawah program “LoveIn-A-Box” yang diadakan pada 7 Februari lalu.

Katanya, program ini telah memberi manfaat kepada 100 orang kanak-kanak istimewa dari Sekolah Khas Persatuan Bagi Kebajikan Kanak-Kanak Terencat Akal (PERKATA) di Jalan Ong Tiang Swee.

“Program amal ini juga merupakan salah satu inisiatif CSR oleh SEDC selain aktiviti lain seperti Majlis Belaian Kasih, Majlis Ramah Tamah Aidilfitri bersama pelajar-pelajar sekolah sekitar Kuching dan juga progam bergotong-royong bersama masyarakat setempat,” katanya.

Pada majlis ringkas penyerahan sumbangan bernilai RM4,560 semalam, Abdul Aziz diwakili oleh Pengurus Besar SEDC Abdul Hadi Abdul Kadir.

Sumbangan itu diterima oleh Timbalan Pengerusi Peryatim Iskandar Razali. Turut hadir Timbalan Pengurus Besar SEDC Rakayah Hamdan dan Ketua Pegawai Eksekutif Peryatim Sarawak Salleh Hamdan.