KUCHING: Persatuan Wanita UNIMAS (MASNITA) turun ke padang hari ini untuk menyerahkan sumbangan Ramadan kepada golongan asnaf sekitar Kuching bersempena dengan program MASNITA Prihatin 2020.

Penyerahan sumbangan tersebut telah diketuai oleh Yang DiPertua MASNITA, Datin Kartini Ahmad, Naib Yang DiPertua MASNITA, Puan Korina Ibrahim dan beberapa ahli jawatankuasa MASNITA yang lain.

Penerima-penerima sumbangan Ramadan MASNITA adalah seramai 19 orang iaitu enam belas golongan asnaf dari Kampung Gita dan seorang masing-masing dari Kampung Semerah Padi, Kampung Gita dan kawasan Matang.

Program MASNITA Prihatin merupakan program tahunan MASNITA yang bertujuan untuk membantu meringankan beban para penerima terdiri dari golongan asnaf untuk persediaan menyambut hari raya tidak lama lagi.

MASNITA berharap sumbangan kecil ini dapat mewujudkan rasa ceria dan gembira di kalangan mereka yang memerlukan.

MASNITA turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga UNIMAS dan juga pihak yang telah sudi memberi sumbangan samada dalam bentuk tunai dan juga barang-barang keperluan untuk diserahkan kepada golongan asnaf tahun ini.