KUCHING: Operasi bistro di negeri ini dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)  dengan syarat premis berkenaan hanya menjual makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Emba berkata, premis berkenaan tidak menyediakan hiburan seperti karaoke dan persembahan kumpulan muzik.

PKPB dijangka berakhir pada 9 Jun ini bagi membendung penularan Covid-19 yang mulai dikesan pada 13 Mac lalu.

“Jika mereka beroperasi tetapi masih menyediakan hiburan, muzik atau ‘live band’, maka mereka melanggar peraturan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini, hari ini.

Pada Isnin, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri mengumumkan JPBNS tidak membenarkan premis muzik kafe, kelab malam dan bistro beroperasi dalam tempoh PKPB di negeri ini.

Tegasnya, amaran dan penutupan premis akan dikenakan terhadap pemilik kedai termasuk syarikat dan pasar raya yang melanggar  garis panduan yang ditetapkan.