KUALA LUMPUR: Kelihatannya ada sinar di hujung terowong bagi penanam kelapa sawit selepas harganya jatuh merudum dan India kembali mesra terhadap Malaysia selepas pertukaran kerajaan.

 Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, harga minyak sawit di pasaran dijangka mengukuh semula susulan India kembali membeli minyak sawit dari Malaysia.

Beliau berkata perubahan pendirian kerajaan India untuk tidak melanjutkan sekatan import terhadap minyak sawit ditapis serta kesediaan kerajaan Malaysia memastikan jurang dagangan kembali rapat membantu peningkatan import oleh negara berkenaan

Faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan import adalah harga pasaran minyak sawit mentah yang kini berada di bawah paras pencukaian duti eksport Malaysia, katanya.

“Perkembangan hubungan diplomatik kini bertambah baik dengan kontrak belian minyak sawit bagi Jun dan Julai 2020.

“Kerajaan menjangkakan situasi ini memberikan impak positif ke atas industri sawit dan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan pada Khamis. 

Syarikat penapis minyak sawit India mula menghentikan pembelian minyak sawit dari Malaysia untuk penghantaran November dan Disember lalu.

Media sebelum ini melaporkan pembelian yang lebih rendah oleh India, yang selama ini menjadi pembeli terbesar minyak sawit Malaysia boleh menyebabkan inventori yang lebih tinggi dan memberi tekanan kepada harga minyak sawit Malaysia.

Malah ia juga dapat membantu pesaingnya, Indonesia meningkatkan penghantarannya ke India.