KOTA SAMARAHAN: Jerih perih petugas barisan hadapan UNIMAS mendapat perhatian UNIMAS Publisher dan Pejabat Audit Dalam Universiti Malaysia Sarawak serta beberapa individu perseorangan apabila kumpulan ini menyumbang kit penjagaan diri untuk keperluan petugas barisan hadapan universiti.

Ia bagi membantu memudahkan urusan dan diharap menjamin keselamatan mereka dalam menangani penularan wabak Covid-19.

Pencetus idea projek, Pengarah UNIMAS Publisher, Profesor Madya Dr Neilson  Ilan Mersat berkata sumbangan kit penjagaan diri ini membabitkan 100 set yang mengandungi cecair mandian anti-bakteria, span mandi, syampu, dan cecair penyegar mulut bagi keperluan petugas barisan hadapan universiti.

“Usaha ini adalah hasil kerjasama dua pusat tanggungjawab yang kecil di Bangunan Canselori iaitu UNIMAS Publisher dan Pejabat Audit Dalam termasuk beberapa individu perseorangan yang menyambut baik sokongan untuk mendatangkan keceriaan kepada petugas barisan hadapan UNIMAS yang telah bertungkus-lumus membantu kerajaan negeri dalam proses saringan dan ujian Covid-19.

“Dana diterima adalah sumbangan peribadi staf yang dizahirkan dalam bantuan yang diharap dapat membantu meningkatkan semangat dan moral petugas barisan hadapan UNIMAS,” kata beliau selepas menyerahkan bantuan itu kepada dua kumpulan utama barisan hadapan universiti iaitu petugas pusat kesihatan dan pegawai keselamatan.

Peralatan berkenaan diserahkan kepada Pengarah Hospital Pengajar dan Pusat Perubatan UNIMAS, Profesor Madya Dr. Ehfa Bujang Safawi dan bagi pihak Bahagian Keselamatan UNIMAS diwakili oleh Pengarah, Lt. Kol (B) Mohd Melintang Abdullah. Turut hadir menyerahkan sumbangan adalah Ketua Audit Dalam, Cik Hajah Norashikin bt Morshidi. 

Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) melalui  pasukan petugas Covid-19 sentiasa dalam keadaan bersiap siaga untuk memastikan keselamatan dan kebajikan warga kampus sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.