KUALA LUMPUR: Walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad bukan lagi Pengerusi Bersatu, beliau masih berpeluang kembali menjawat jawatan itu selepas pemilihan parti dimuktamadkan.

Seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata, perkara itu susulan pengesahan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Tan Sri Syed Hamid Albar pada 16 Mac lepas bahawa setakat ini hanya bekas Perdana Menteri itu seorang sahaja yang menghantar nama untuk jawatan tersebut.

Bagaimanapun, jawatan itu hanya akan dimuktamadkan selepas proses pemilihan dan persidangan serentak 189 bahagian disambung semula kelak.

“Pengerusi sekarang adalah Pengerusi penggal 2016-2020. Yang beliau (Dr Mahathir) menang tanpa bertanding Pengerusi penggal akan datang.

“Hingga itu, jawatan (pengerusi) itu dipangku oleh Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin sebab Dr Mahathir telah pun meletak jawatan,” jelas ahli MPT itu  seperti dilapor Astro Awani.

Semalam, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengesahkan  Mahathir bukan lagi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, dan ia adalah selaras dengan perlembagaan parti itu sendiri, kata seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).