Friday, October 7, 2022

Lima pelajar masuk pusat kuarantin di Limbang

Secara Rawak

LIMBANG: Seramai 136 pelajar pelbagai IPT yang tiba dari Miri akan diberikan notis kekal di rumah dan diserahkan ke pangkuan keluarga masing-masing.

Residen Bahagian Limbang Ahmad Denney Ahmad Fauzi berkata, bagaimanapun seramai lima pelajar tidak dibenarkan balik dan dimasukkan ke pusat kuarantin di Hotel Purnama.

Menurutnya, lima pelajar dari Daerah Limbang itu dimasukkan ke pusat kuarantin tersebut bersama-sama pelajar dari Lawas disebabkan keadaan rumah. “Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memeriksa kediaman pelajar yang berada di Limbang.

“Lima pelajar akan dimasukkan ke pusat kuarantin di Hotel Purnama memandangkan keadaan rumah mereka tidak sesuai untuk bercampur dengan ahli keluarga yang lain,” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas menyambut ketibaan 136 pelajar pelbagai IPT ke Limbang di Lapangan Terbang Limbang.

Ahmad Denney berkata, pelajar dari Daerah Lawas juga akan dikuarantin sementara menunggu pelajar lain yang akan tiba sebelum dihantar ke Lawas pada Rabu ini menggunakan bot ekspres.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Limbang itu menjelaskan, pelajar dihantar terus ke rumah kerana mereka sudah menjalani kuarantin di universiti masing-masing.

“Ada yang sudah dikuarantin di Kuching, Bintulu dan Miri. Malah mereka juga sudah menjalani ujian swab sebelum dibenarkan pulang ke Limbang. “Oleh itu mereka dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing untuk menyambut Hari Raya dan Gawai kerana sudah melalui prosedur yang ketat,” ujarnya.

Seramai 421 pelajar akan dibawa pulang dalam tempoh tiga hari menggunakan dua pesawat sewa khas dari Miri ke Limbang.

Sementara itu, Pengarah Hospital Limbang Dr Nanthakumar memaklumkan bahawa semua pelajar yang tiba akan menjalani ujian swab walaupun pernah menjalani ujian tersebut sebelum ini.

“Ia bagi memastikan pelajar yang dihantar pulang ke pangkuan keluarga masing-masing benarbenar bebas daripada jangkitan Covid-19. “Prosedur tersebut terpaksa dijalankan sekali lagi demi kesihatan pelajar, ahli keluarga dan masyarakat umum,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru