KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) semalam telah mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat petroleum untuk membincangkan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan terutama berkaitan cadangan tarikh baharu pelaksanaan bagi Sarawak, Sabah dan Semenanjung. 

Menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, mesyuarat telah bersetuju akan perubahan tarikh yang telah dirancang bagi pelaksanaan untuk diperluas secara berfasa iaitu ke Sarawak pada 1 September depan, Sabah pada 1 Januari 2021 dan mengekalkan tarikh asal pelaksanaannya iaitu 15 Jun 2021 bagi Semenanjung Malaysia. 

“Adalah diharapkan dengan tarikh baharu yang dipersetujui oleh semua pihak bagi meluaskan penggunaan B20 dengan mengambil isu semasa yang dihadapi dapat melonjakkan industri sawit negara ke tahap yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Katanya, pelaksanaan Program Biodisesel B20 ialah inisiatif kerajaan di bawah KPPK bagi menggalakkan penggunaan minyak sawit domestik. 

Dianggarkan sebanyak 534,000 tan setahun penggunaan minyak sawit dapat ditingkatkan.   

Jelasnya, dengan mengambil kira pelaksanaan Program Biodiesel B20 sektor pengangkutan dan Program Biodiesel B7 untuk sektor industri sedia ada, dijangkakan kira-kira 1.3 juta tan minyak sawit setahun akan digunakan dalam negara dan menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 3.8 juta tan CO2 setara setahun. 

“Ini juga menunjukkan komitmen Kerajaan terhadap pengurangan pelepasan GHG dan penjagaan alam sekitar.   Berikutan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara, telah menyebabkan Kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

KPPK telah melaksanakan Program Biodiesel B20 (adunan 20% metil ester sawit (PME) dan 80% diesel petroleum) di sektor pengangkutan secara berfasa pada Januari 2020 bermula dengan Langkawi pada 1 Jan  dan Labuan 15 Jan lalu.