Pada 4 Mei 2020, Kerajaan telah mengumumkan bahawa sektor ekonomi telah dibenarkan beroperasi secara berperingkat dalam tempoh PKPB bagi memulihkan semula ekonomi negara termasuk restoran dan kedai makan.

Susulan daripada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak ada menerima kenyataan yang tular di media sosial berkenaan kenaikan harga ayam di pasaran Negeri Sarawak. KPDNHEP Sarawak mengambil maklum terhadap isu ini dan beberapa tindakan proaktif telah diambil untuk menanganinya.

Lawatan pemeriksaan ladang ayam pada 19 Mei 2020 (Selasa) di ketuai oleh Pengarah KPDNHEP Sarawak, YBhg. Dato’ Stanley Tan di K&L Farming Industries Sdn Bhd di Jalan Kuching- Serian iaitu salah satu ladang utama di negeri Sarawak.

Lawatan pemeriksaan bertujuan bagi meninjau dan mendapatkan maklumat berkaitan bekalan ayam bagi keperluan pada bulan Ramadan ini dan musim perayaan yang akan datang iaitu Perayaan Hari Raya Puasa dan Hari Gawai Dayak.

Hasil lawatan pemeriksaan ini, dimaklumkan oleh pengurus ladang ayam adalah mencukupi untuk menampung keperluan pada musim perayaan akan datang. Purata pengeluaran ayam adalah 14,000 ekor/ hari.

Untuk makluman selain daripada ladang K&L Farming Sdn Bhd, terdapat dua (2) ladang utama di negeri Sarawak iaitu QL Livestock Farming Sdn Bhd dan Central Coldstorage Kuching Sdn Bhd dengan purata pengeluaran 8,000 ekor/ hari dan 35,000 ekor/ hari masing-masing untuk keperluan seluruh rakyat di negeri Sarawak meliputi Bahagian Kuching hingga ke Bahagian Limbang/ Lawas.

Berdasarkan kutipan harga Bahagian Majlis Harga Negara (BHBN) KPDNHEP Sarawak harga jualan ayam bersih standard (1kg) bagi tempoh Januari hingga Mei 2020 ialah diantara RM6.90 hingga RM8.50/ kg. Semasa tempoh PKP hingga tempoh PKPB harga ayam ialah RM 6.90 hingga RM8.50/ kg . Harga tersebut adalah pada aras normal dan tidak menunjukkan sebarang kenaikan.

Kementerian ini bersama-sama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan saling bekerjasama dalam memastikn bekalan makanan keperluan harian mencukupi dalam pasaran dan pada harga yang berpatutan. Justeru, pengguna dinasihatkan supaya membeli mengikut keperluan dan elakkan pembaziran.

Kementerian akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai bagi tahun 2020. SHMMP Hari Raya Puasa bermula pada 20 Mei hingga 3 Jun 2020 (15 hari) manakala bagi SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai bermula pada 28 Mei hingga 3 Jun 2020 (7 hari) dan diharapkan harga ayam adalah terkawal mengikut harga yang telah diwartakan oleh kementerian.

Kementerian telah meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan terhadap harga jualan ayam di pasaran. Sehingga 18 Mei 2020 sebanya 31 Notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan terhadap rantaian pembekal ayam iaitu diperingkat runcit, pembekal dan peladang. Sebanyak lima belas (15) notis telah dikeluarkan kepada peniaga ayam di pasar awam, lapan (8) notis kepada pembekal dan lapan (8) notis kepada peladang.

Peniaga di setiap peringkat diberi amaran supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah dan mengambil keuntungan yang berlebihan. Pengguna pula diingatkan supaya tidak membuat pembelian panik kerana perbuatan ini memberi impak negatif kepada harga ayam.

Sekiranya didapati peniaga menaikkan harga yang tidak munasabah dan melebihi paras margin keuntungan, tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 14, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 iaitu mana-mana orang dalam perjalanan perdagangan atau perniagaan, mencatut dalam menjual atau menawarkan untuk menjual dan membekal apa-apa barang atau perkhidmatan dan jika disabitkan kesalahan :
Individu boleh didenda sehingga RM100,000.00 atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya;
Syarikat atau Pertubuhan Perbadanan boleh didenda sehingga RM500,000.00.

Sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian hotline kementerian di 1-800-886-800 atau Portal e-aduan kpdnhep di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau di talian Whatsapp 019-2794317 atau hadir sendiri di mana-mana pejabat Kementerian yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.Sepanjang tempoh PKP ini, bilik gerakan KPDNHEP Sarawak di buka dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari dan boleh dihubungi untuk menyalurkan apa-apa aduan seperti talian di bawah:

PPDNHEP KUCHING – 082-466052
PPDNHEP SRI AMAN – 083-323836
PPDNHEP SARIKEI – 084-657751
PPDNHEP SIBU – 084-329202
PPDNHEP KAPIT – 084-799678
PPDNHEP BINTULU – 086-332176
PPDNHEP MIRI – 085-412862
PPDNHEPLIMBANG – 085-217414
PPDNHEP MUKAH – 084-872726
PPDNHEP LAWAS – 085-283650

Unit Pengurusan Media dan Publisiti
KPDNHEP Sarawak