Saturday, October 8, 2022

RM305,000 diagihkan untuk semua masjid, surau di Dun Demak

Secara Rawak

KUCHING: Sebanyak RM305,000 telah diagihkan kepada semua masjid dan surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut menerusi dana tahunan dan sumbangan Ramadan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, setiap masjid menerima peruntukan dana tahunan sebanyak RM10,000 dan sumbangan ramadan adalah sebanyak RM3,000.

Manakala surau pula akan menerima peruntukan bagi dana tahunan sebanyak RM6,000 dan RM2,000 sebagai sumbangan Ramadan.

“Di kawasan Demak Laut terdapat 13 buah masjid dan 17 buah surau. Secara keseluruhannya, sebanyak RM305,000 telah diagihkan kepada setiap masjid dan surau di kawasan DUN Demak Laut,” katanya dalam satu kenyataan, Isnin.

Tambah beliau, peruntukan dana dan sumbangan Ramadan tersebut adalah untuk membantu pengurusan masjid dan surau menjayakan program dan aktiviti yang bermanfaat kepada penduduk kampung di sepanjang bulan Ramadan.

“Walaupun kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), masih ada program dan aktiviti yang boleh dilaksanakan kepada penduduk kampung dengan terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB khususnya dalam pemakaian penutup hidung dan mulut, mengamalkan penjarakan sosial dan kerap cuci tangan dan guna hand sanitizer.

“Pada tahun ini, aktiviti tahunan di bulan Ramadan tidak dapat diadakan disebabkan penularan wabak pandemik COVID-19, ini tidak bermakna tiada terus aktiviti yang diadakan untuk penduduk kampung,” ujarnya.

Oleh yang demikian, beliau meminta agar pihak masjid dan surau memikirkan aktiviti yang boleh dilaksana dan diadakan untuk penduduk kampung dengan syarat mematuhi dan mengikuti SOP PKPB yang telah digariskan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru