Saturday, October 8, 2022

Menteri: Bas ekspres di Sarawak boleh  beroperasi semula  bulan depan

Secara Rawak

KUCHING: Berita yang melegakan bagi mereka yang hendak mendapatkan perkhidmatan bas ekspres di negeri ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memutuskan untuk membenarkan perkhidmatan bas ekspres atau wilayah beroperasi semula di Sarawak selepas 1 Jun 2020.

Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin berkata, keputusan itu diambil setelah JPBNS mengadakan mesyuarat secara menyeluruh pada Isnin.

“Jadi, semua pengusaha bas ekspres atau wilayah dinasihati membuat segala persediaan yang perlu berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum meneruskan semula perkhidmatan mereka sepanjang tempoh ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ini, jelas beliau, termasuk membersihkan bas mereka, melakukan ujian calitan bagi pemandu, menyusun semula susunan tempat duduk di dalam bas bagi tujuan penjarakan sosial,” katanya.

Mereka juga kata Lee hendaklah menyediakan peralatan lain seperti alat penyukat suhu, pensanitasi tangan dan pelitup muka.

Jelas beliau, langkah itu diambil bagi  melindungi semua orang terutama pemandu  dan penumpang bagi mencegah penyebaran Covid-19 di negeri ini.

Orang ramai berpendapat, dengan adanya perkhidmatan bas berkenaan, akan memudahkan mereka yang terperangkap ekoran Perintah Kawalan Pergerakan bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan lain di negeri ini.

Syarikat perkhidmatan bas juga terjejas teruk oleh penguatkuasaan PKP apabila mereka tidak dibenarkan beroperasi sebagai langkah membendung penularan Covid-19.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru