Friday, October 7, 2022

Beratur panjang di luar bank demi ATM menjelang tujuh likor malam ini

Secara Rawak

SARATOK: Menjelang tujuh likor malam ini orang ramai dilihat tidak peduli walau terpaksa berbaris panjang demi untuk mendapatkan perkhidmatan mesin wang automatik (ATM) yang terdapat di premis Bank Simpanan Nasional (BSN) di sini pagi ini.

Berdasarkan maklumat mereka yang ditemui di situ memberitahu mereka telah mula beratur di luar bank sejak jam 5.30 pagi tadi bagi menunggu masa mesin berkenaan yang hanya mula beroperasi jam 6 pagi.

Orang ramai dari kawasan sekitar dan kampung berdekatan dilihat telah mula membanjiri bank berkenaan sejak beberapa minggu lepas sebaik sahaja pengumuman tentang wang bantuan kerajaan sudah dimasukkan ke akaun penerima yang layak.

Namun pada minggu ini kehadiran pengguna bertambah secara drastik ekoran sambutan Hari Raya Aidilfitri yang kian hampir.

Seorang pengguna, Atan Saboman,42, ketika ditemui memberitahu dia telah berada di bank sejak jam 7 pagi.

“Saya dari Kabong ke Saratok ambil masa hampir sejam juga baru sampai. Kami orang Kabong dan Roban terpaksa datang ke sini dan berbaris panjang sebab Kabong tak ada bank dan mesin ATM.

“Di Bank BSN Saratok ini perkhimatan kaunter hanya akan buka mulai jam 9 sampai jam 2.30 petang. Hanya seramai 80 orang saja yang akan dapat nombor giliran dan dibenarkan untuk mendapat perkhidmatan di kaunter bank bagi pengeluaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Jadi yang lain terpaksa beratur panjang di luar menunggu giliran menggunakan perkhidmatan mesin ATM.

“Kelmarin ada beberapa orang terpaksa pulang tangan kosong sebab tak sempat nak berurusan.Dan mereka kata nak datang lagi hari ini.Jadi perkara macam ni jadi satu isu yang perlu diberi perhatian oleh pihak yang berwajib dan pihak yang berkenaan.

“Saya harap pihak yang berkenaan dapat mempertimbangkan untuk mewujudkan perkhidmatan bank di Kabong. Kemudahan perkhidmatan bank perlu diwujudkan di Kabong supaya dapat mengurangkan bebanan rakyat yang terpaksa bergerak jauh serta berdepan banyak cabaran untuk mendapat perkhidmatan bank.Golongan warga emas antara yang sangat terkesan dengan keadaan sebegini.

“Duit yang diambil tak seberapa tetapi mereka terpaksa bayar tambang bagi yang tak ada kenderaan.Makan minum lagi,beli minyak kenderaan dan wang bantuan yang diambil hanya berbaki beberapa ringgit sahaja lagi bila sampai rumah,” ujarnya.

Setakat jam 8 pagi tadi dianggarkan lebih 200 orang sudah berbaris panjang menunggu giliran masing-masing.

Biarpun terpaksa penat berdiri di bawah sinaran terik cahaya matahari namun hajat perlu ditunaikan demi sebuah kehidupan.

Bagi yang berduit mereka tidak perlu melalui kepayahan sedemikian.Namun bagi golongan yang kurang berkemampuan ini (walaupun bukan semua,namun kebanyakkannya) mereka terpaksa dan akan tetap mengagahkan diri menghadapi cabaran asalkan dapat mengeluarkan wang bantuan daripada kerajaan demi untuk keperluan keluarga yang telah sekian lama terikat oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kemudiannya menjadi PKPB dan memasuki hari yang ke-62 hari ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru