KUCHING: Premis muzik kafe, kelab malam dan bistro tidak dibenarkan beroperasi di negeri ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata terdapat salah faham hingga ada yang fikir bistro sama dengan restoran.
“Ada salah faham apabila terdapat pihak menganggap bistro sebagai restoran. Jadi kita memutuskan hari ini mana-mana bistro tidak dibenarkan beroperasi.
“Amaran dan penutupan premis akan dikenakan kepada pemilik kedai termasuk syarikat dan pasar raya yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media harian Covid-19 di sini, semalam.
Untuk lima hari berturut-turut tidak terdapat kes baharu positif Covid-19.
“Diharap mereka yang diberi peluang untuk membuka kegiatan ekonomi akan ikut garis panduan yang ditetapkan,” tegasnya.