Ketika era pandemik Covid-19, Sarawak perlu bergerak ke hadapan dan memastikan pembangunan terus diutamakan. Di peringkat antarabangsa, kejatuhan harga saham indek utama Dow Jones di Amerika Syarikat memberikan kesan kepada pasaran saham dunia.

Ini termasuk negara Malaysia kerana terdapat hubungan hubungan Keluaran Kasar Dalam Malaysia (KDNK)  dengan Amerika  yang dianggarkan sekitar 80 peratus yang mengakibatkan ekonomi Malaysia.

Yang paling terkesan terhadap Malaysia ialah apabila kerajaan terpaksa mengenakan perintah kawalan pergerakan bagi membendung wabak covid-19 agar tidak merebak dan mewabak teruk.  Hal ini membawa kepada pengehadan aktiviti ekonomi yang sebelum ini rancak walaupun ekonomi negara berada dalam paras sederhana.

Kini sudah ada syarikat-syarikat besar yang tersenarai dalam bursa saham yang membuat langkah berjimat cermat termasuk melakukan pengurangan  gaji ketua eksekutif (CEO)  mereka sehingga 75 peratus. Situasi ini merupakan satu petanda besar daripada syarikat besar. Apatah lagi, industri kecil dan sederhana sudah pasti mengalami  nasib yang sama, kecualilah industri pembekalan kesihatan seperti topeng muka, sarung tangan getah yang berkaitan langsung dengan pemulihan wabak ini.

Pengalaman kemelesetan ekonomi terbesar pernah berlaku di Amerika Syarikat sekitar tahun 1930.  Malah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangka bahawa impak pandemik Covid-19 akan menyebabkan ekonomi seluruh negara  mengalami kemeselestan paling teruk sejak zaman kemelesetan pada tahun 1930-an dan lebih buruk daripada krisis kewangan global 2009.

Krisis adalah terbesar di dunia yang melibatkan hampir 5 juta manusia  terkena penyakit tersebut  dan menyebabkan lebih 300 ribu terkorban setakat ini akibat daripada pandemik tersebut  Pandemik besar ini tidak pernah berlaku dan terdapat ketidaktentuan ekonomi, kesihatan dan sosial yang menimpa hidup rakyat. 

Kesan Nasional

Zaman kemelesetan ditandai dengan banyak syarikat-syarikat terpaksa ditutup dan terdapat yang jatuh bangkrap kerana sukar bertahan dalam ekonomi semasa.  Pasar raya besar hanya untung dalam bahagian keperluan makanan dan minuman, namun bahagian lain seperti jualan baju, kasut, komputer,  barang perhiasan  yang mewakili jualan besar sebelum ini tidak dapat beroperasi.  Terdapat juga perniagaan dan perkhidmatan  terpaksa dikecilkan operasi, meminimakan aktiviti mereka bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar.

Daripada aspek sosial, pergaduhan rumahtangga yang boleh membawa keganasan rumah tangga sekiranya tidak terkawal akan berlaku. Hal ini seringkali kali berpunca akibat masalah kewangan yang dihadapi. Ketika krisis ekonomi berlaku mana-mana pihak yang tidak dapat menanggung tekanan hidup yang tinggi boleh juga menyebabkan berlakunya kes-kes bunuh diri.  Malah, isu seperti penderaan juga berlaku apabila terdapat pihak yang melepaskan tekanan mereka kepada ahli keluarga atau pekerja mereka. 

Masalah sosial lain berlaku ialah berlakunya  peningkatan kes-kes jenayah kerana ramai yang kehilangan pekerjaan dan kesempitan hidup mengambil jalan mudah untuk mengatasinya dengan perbuatan melanggar undang-undang,  Kes jenayah turut disumbangkan oleh pekerja asing kerana ramai daripada mereka kehilangan pekerjaan. Pekerja tempatan yang sukar mendapat pekerjaan juga terdedah dengan perlakuan ini.  Maka, kes-kes  rompakan, pecah rumah, ragut akan meningkat jika tidak ada kawalan ketat.

Realiti Semasa

Kerajaan wajar memainkan peranan yang lebih proaktif dalam berdepan dengan kemelesetan ekonomi ini.  Pihak kerajaan  wajar memaklumkan  hakikat atau realiti  yang perlu dihadapi oleh rakyat  agar mereka menjadi lebih bersedia berdepan dengan cabaran-cabaran ini. 

Penyaluran maklumat  kepada rakyat dalam tempoh ini adalah satu keperluan untuk dijadikan budaya baharu bagi menghadapi hari-hari dan bulan-bulan yang penuh dengan hambatan dan cabaran. Misalnya,  selepas motarium dilangsungkan akan berlaku dampak besar kepada kehidupan rakyat kerana ramai akan kehilangan kerja dan menyebabkan sukar untuk  membayar pinjaman bank. Bank kecil pula ada yang meminjam dari bank besar. 

Berdasarkan situasi ini, maka berlaku norma baru dalam masyarakat. Dalam pembahagian agihan pendapat terdapat pembahagian seperti T20, iaitu golongan pendapatan tinggi yang mempunyai bulanan purata RM 8319 ke atas.  Kelompok M40 ialah golongan pendapatan sederhana atau pertengahan yang memperoleh bulanan  purata RM3860 – 8319 manakala B40 ialah ialah kelompok pendapatan rendah yang memperoleh bulanan purata di bawah RM3860 sementara itu, kelompok  Purata Garis Kemiskinan  Nasional  berpendapatan di bawah RM950.

Namun apabila wabak covid-19 berlaku telah menyebabkan berlakunya perubahan pendapatan golongan T20 hingga  terkelompok sebagai M40, manakala M40 pula turun ke B40. Terdapat kelompok B4 menghampiri dan jatuh kepada kepada Purata Garisan Kemiskinan Nasional. Suasana ini berlaku apabila berlakunya kehilangan kerja, perniagaan yang terpaksa dikecil atau ditutup operasi mahupun berlakunya bangkrap.  

Strategi Sarawak

Kerajaan Negeri Sarawak telah memperuntukkan  RM1.1 bilion diperuntukkan kerajaan Sarawak dalam Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang 2.0 (BKSS 2.0) untuk  bantuan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Perusahaan Mikro serta penjaja serta peniaga kecil .  Kelompok ini  menjadi teraas ekonomi Sarawak yang membentuk lebih 75 peratus daripada sektor pernigaan dan menyumbang 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak. Kelompok ini juga menampung  sekitar 600,000 pekerjaan untuk rakyat Sarawak.

Pakej BKSS 2.0  menawarkan kadar faedah percuma untuk pinjaman PKS  untuk tempoh 3 tahun setengah bagi kredit mikro dan geran khas bernilai RM1,500 untuk penjaja dan peniaga kecil menerusi Sarawak Pay. Langkah lain dilaksanakan oleh Sarawak ialah memberikan diskaun 50 peratus untuk bayaran sewa kedai dan gerai terutamanya di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan dalam BKSS 2.0. Malah sewa kepada PKS  juga dikecualikan oleh kerajaan dalam sektor runcit yang beroperasi di premis yang dimiliki oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Tujuannya agar kelompok tersebut terus dapat bertahan dan dapat mengekalkan perniagaan akibat kesan wabak COVID-19 .Pakej ini adalah adalah lanjutan  daripada pakej rangsangan ekonomi itu adalah lanjutan kepada Pakej Sarawakku Sayang bernilai RM1.15 bilion  sebelum ini.  

Kerajaan negeri juga melalui Jabatan Pertanian memperuntukkan dana RM1.5 juta kepada Pertubuhan Peladang Sarawak untuk membeli hasil pertanian di seluruh negeri. Sebanyak RM200,000 diperuntukkan kepada pejabat Fama di seluruh Sarawak untuk membeli hasil petani dan untuk mengatur Pasar Tani.  Sarawak juga memperuntukkan sebanyak RM600,000 kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk membeli hasil tangkapan mereka sebagai usaha untuk membantu nelayan Sarawak.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.