Sunday, June 26, 2022

PIBG Tellian “Terjah” rumah guru

Secara Rawak

MUKAH: Sempena tarikh 16 Mei, iaitu tarikh keramat buat guru-guru di Malaysia, PIBG SK Kampung Tellian “Terjah” ke rumah guru-guru untuk menyampaikan hadiah Hari Guru.

Dengan tiadanya sambutan Hari Guru pada tahun ini, PIBG sekolah berkenaan mengambil inisiatif menyampaikan hadiah terus ke rumah guru-guru yang berada di sekitar Mukah.

Menurut YDP PIBG, James Anthony, inisiatif berkenaan dibuat sebagai apresiasi khas untuk guru-guru SK Kampung Tellian yang telah banyak menyumbangkan jasa buat anak-anak Kampung Tellian, Mukah.

“Dalam suasana PKPB ini, jasa guru-guru SK Kampung Tellian tidak kami lupakan, ini ialah salah satu cara kami meraikan mereka,” ujar beliau.

Manakala, menurut salah seorang AJK PIBG, Jessie Selahat, tema “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu” adalah sangat bertepatan.

“Tema ini diangkat untuk menghargai pengorbanan dan ketabahan guru dalam memperkasa ilmu pengetahuan bagi menghasilkam generasi muda yang berkualiti,” tambah beliau.

Sebagai rekod, SK Kampung Tellian Mukah mempunyai 20 orang guru, 3 kakitangan pelaksana dan 222 orang murid.

Sekolah berkenaan masih menumpang bangunan di SK Mukah sejak 16 tahun yang lalu. Bangunan baharu SK Kampung Tellian Mukah telah siap sepenuhnya dan menunggu masa untuk beroperasi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru