KUCHING: Sarawak tidak menyerahkan haknya kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) apabila ia bersetuju untuk menerima RM2 bilion ringgit.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr james Jemut Masing berkata, pengkritik terutama pembangkang yang berpendirian dan berhujah sebaliknya, adalah salah.

“Sarawak tidak menyerahkan hak minyak dan gasnya kepada Petronas. Sesiapa yang membuat andaian sedemikian adalah salah,” katanya.

Sebaliknya, menurut Presiden PRS itu, Petronas telah mengiktiraf hak Sarawak dengan melunaskan lima peratus Cukai Jualan Hasil (SST).

Masing berkata, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah menyatakan dengan jelas pendirian Sarawak tentang hak negeri ini banyak kali.

“Tetapi pengkritik sama ada gagal atau enggan memahami apa-apa yang dinyatakan oleh Ketua Menteri atas alasan yang mereka sendiri saja tahu,” tegasnya.Beliau juga menegaskan bahawa RM2 bilion yang dibayar oleh syarikat minyak itu bukan hanya sekali yang pengkritik mahu orang ramai percayai.

Abang Johari  dua hari lalu menafikan dakwaan dan tuduhan pihak tertentu termasuk pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan serta netizen bahawa  Kerajaan Sarawak menyerahkan hak ke atas minyak dan gas kepada Putrajaya.

“Seperti yang saya beritahu sebelum ini, kita ada hak ke atas minyak dan gas. Itulah sebabnya kita bawa kes itu ke mahkamah dan mahkamah memutuskan kita mempunyai hak berkenaan,” jelasnya lagi.

Beliau menegaskan Kerajaan Sarawak tetap berhak terhadap minyak dan gasnya dan tiada perjanjian antara Sarawak dengan syarikat minyak itu mengenai cukai jualan minyak dan gas.

Sarawak memperkenalkan cukai jualan minyak dan gas (SST) pada Januari 2019 tetapi Petronas enggan melangsaikan cukai berkenaan sehingga menyebabkan Kerajaan Sarawak terpaksa mengheretnya ke mahkamah.

Pada Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan Sarawak berhak mengenakan cukai berkenaan mengikut Perlembagaan Persekutuan.