KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad  ternyata gusar dengan keputusan Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Riza Shahriz Abdul Aziz.

Riza sebelum ini didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebagai orang yang tak pandai tentang undang-undang, kata Ahli Parlimen Langkawi itu, beliau tertanya-tanya.

“Di masa depan, apabila ada penjenayah yang curi duit dan dihadapkan mahkamah, adakah dia dilepaskan apabila dia kata akan pulangkan balik duit yang dicuri?,” tanya beliau dalam satu video yang dimuat naik di laman sosial beliau.

“Sebagai wakil rakyat, saya susah hati. Walaupun bukan lagi kerajaan, tetapi saya terbabit dalam pembentukan undang-undang dan kita harap undang-undang itu berkesan,” kata Dr. Mahathir lagi.

Namun, Dr Mahathir menyatakan beliau tidak bermaksud mempersoalkan kuasa dan integriti mahkamah.

“Saya tidak mempersoalkan tindakan hakim atau mahkamah, kerana saya yakin mahkamah bertindak mengikut undang-undang.

“Kalau benarlah ada undang-undang yang membenarkan penjenayah dibebaskan apabila dia memulangkan duit yang dicuri, mungkin kena pinda undang-undang itu,” tambah beliau.