UKRAIN: Seorang wanita dari Ukraine baru-baru ini menjadi tumpuan media seluruh dunia selepas terselamat daripada perbuatan khianat jirannya yang tengah mabuk.

Dia dikatakan dipukul teruk beberapa jam dan kemudiannya disuruh menggali sendiri kubur untuk dirinya.

Media tempatan di wilayah Poltava, Ukraine melaporkan kisah Nina Rudchenko, 57, yang berjaya meyelamatkan dirinya selepas dikubur hidup-hidup oleh jirannya yang ganas dan jahat.

Wanita itu memberitahu polis, dia berada di rumahnya apabila dua jirannya yang merupakan adik-beradik berusia 27 dan 30 tahun menyerbu masuk dan memukulnya menggunakan tangan dan kayu besbal.

Menurut Nina dia dipukul berjam-jam sebelum jatuh pengsan kerana kesakitan yang teramat sangat.

Apabila sedar dia mendapati dirinya berada di tanah perkuburan di kampungnya.

Dia diheret ke kubur itu ketika pengsan pada tengah malam oleh dua beradik tersebut yang dikenali sebagai Oleg dan Vladimir menyimbah air sejuk ke badannya dan menyuruhnya menggali kubur.

Ketika menggali, dua beradik itu memaksanya menyerahkan rumahnya kepada mereka dan mengugut membakar kakaknya dan menanam menantu lelakinya jika dia enggan berbuat demikian.

Apabila kubur siap digali dia diarah masuk ke dalamnya dan ditimbus tanah.

Sebaik sahaja dua beradik itu meninggalkan kawasan kubur, Nina berusaha mengeluarkan dirinya dari lubang kubur itu dan kembali ke rumahnya sebelum pengsan semula.

Dia ditemui kakaknya terbaring di lantai. Selepas menghubungi polis Nina dikejarkan ke hospital.

Dia mengalami pelbagai kecederaan dan memberitahu pihak media dia tidak berani pulang semula ke rumahnya kerana kedua-dua beradik itu belum ditahan polis.

Polis Ukraine memulakan prosiding jenayah terhadap kedua-dua penyerangnya dan mereka berdua mengaku menyerang wanita itu.

Alasan yang diberikan ialah kerana membalas dendam terhadap wanita itu kerana mendakwa Nina mencuri anjing mereka.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara lima tahun.