KUCHING: Kelulusan Dewan Undangan Negeri tidak diperlukan untuk penggunaan Dana Kecemasan Negeri, kata Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri semalam.

Sebaliknya, kelulusan hanya perlu apabila terdapat cadangan untuk menaikkan nilai siling dana tersebut.

“Dalam tempoh 15 tahun lalu, siling Dana Kecemasan Negeri disemak sebanyak lima kali. “Kali terakhir semakan dilakukan dan diluluskan semasa Persidangan Dun November 2018 dan dana meningkat daripada RM250 juta kepada RM500 juta, berkuat kuasa pada 2019.

“Ia amat jelas dalam Ucapan Belanjawan 2019 semasa Persidangan Dun pada November 2018 apabila pertambahan RM250 juta itu diperuntukkan ke atas Dana Kecemasan Negeri,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan semalam sebagai membalas dakwaan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang juga bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Wong Soon Koh yang mempertikaikan sumber kewangan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

Tambah pejabat itu, siling baharu dana berkenaan sebanyak RM500 juta dinyatakan dalam Penyata Kewangan Tidak Diaudit Negeri 2019.

“Amat penting untuk Dun bersetuju menyemak siling Dana Kecemasan Negeri dan pengisian semua dana terbabit melalui Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan bagi memastikan ia tetap utuh.

“Ini kerana Dana Kecemasan Negeri merupalan salah satu instrumen kewangan awam yang sumbernya diurus secara mobilisasi dan dibelanjakan,” tegasnya.

Dana itu diwujudkan untuk memenuhi keperluan mendesak kerajaan dan di luar jangka apabila ia tiada dalam peruntukan lain.

Jelas Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri lagi, dana berkenaan dibentuk di bawah Artikel 103 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 11 Akta Prosedur Kewangan 1957 (Akta 61).

“Di bawah kerangka undangundang ini, menteri yang bertanggungjawab terhadap kewangan berhak melakukan pendahuluan daripada dana ini bagi tujuan kecemasan.

“Selain itu, Seksyen 3(3) Ordinan Prosedur Kewangan (Kecemasan dan Dana Amanah) 1963 memperuntukkan Ketua Menteri berkuasa melakukan pendahuluan daripada Dana Kecemasan Negeri untuk keperluan di luar jangka agar dibelanjakan,” ujarnya.

Katanya lagi, dana ini tidak terdapat dalam peruntukan yang sedia ada dan tidak terdapat di bawah Seksyen 15(4) Akta Prosedur Kewangan 1957 (Akta 61).

Pejabat itu memberitahu, siling untuk Dana Kecemasan Negeri boleh meningkat dari semasa ke semasa tertakluk kepada Dewan Undangan Negeri (Dun).