PUSA: Jangan kaut untung tidak munasabah, demikian amaran KPDNHEP terhadap mana-mana peniaga yang cuba mengingkari undang-undang.

Ketua Cawangan KPDNHEP Sri Aman Pelani Kemiti berkata, sebanyak 57 kesalahan dikesan yang menyumbang kepada isu mengaut untung tidak munasabah.

“Paling banyak direkodkan adalah gagal mempamerkan tanda harga, diikuti kesalahan menggunakan alat penimbang yang tidak ditentusahkan.

“Justeru, saya menasihati para peniaga supaya mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kerajaan dan tidak menaikkan harga barang dengan niat mengaut keuntungan tidak munasabah,” katanya dihubungi semalam.

Jelasnya, peniaga juga perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang dirangka oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi. “Perkara ini juga melibatkan orang ramai yang datang ke premis peniaga.

“Pada masa yang sama, orang ramai tidak perlu melakukan pembelian panik kerana bekalan sentiasa mencukupi.

“Saya ingin mengingatkan pembeli agar menyimpan resit pembelian untuk memudahkan siasatan dijalankan oleh pegawai KPDNHEP sekiranya terdapat keraguan terhadap peniaga yang menaikkan harga,” tambahnya lagi.

Ditanya mengenai fokus KPDNHEP Sri Aman sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Pelani membe-ritahu, ia melibatkan beberapa sektor iaitu makanan dan peruncitan.

“Sebagai pegawai yang diberi kuasa melaksanakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), operasi pemantauan makanan akan ditumpukan ke pasar awam berbumbung, pasar besar terkawal, restoran, medan selera, pusat penjaja dan gerai makan tepi jalan.

“Sementara sektor peruncitan melibatkan kedai perabot, emas, elektrik dan elektronik, kedai perkakas, haiwan, cermin mata serta bengkel, penyelenggaraan dan alat ganti. “Begitu juga pasar raya, kedai serbaneka, farmasi, penjagaan diri, butik, kedai pakaian, dobi, aksesori fesyen dan stesen minyak.

“Kesemuanya akan dikuatkuasakan dengan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP 2011) – Penandaan Harga oleh peniaga runcit dan akta lain yang dikuatkuasakan di bawah KPDNHEP,” ujarnya.

Pihaknya juga akan memastikan suhu badan pekerja diambil dan direkod, penjarakan sosial seperti penandaan jarak satu meter di lantai dipatuhi dan pemakaian pelitup muka oleh orang awam, peniaga dan pekerja.

Selain itu, memastikan sanitasi tangan oleh pengguna menggunakan cecair pembasmi di kawasan mencuci tangan yang disediakan serta mewujudkan notis papan hebahan kesedaran kepentingan norma baharu.