KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan bercadang menawarkan peluang pekerjaan di Pasar Borong Kuala Lumpur kepada golongan belia menganggur dengan gaji sebanyak RM2,400 sebulan.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata khidmat pekerja tempatan di pasar borong adalah diperlukan memandangkan jumlah pekerja tidak mencukupi berikutan warga asing tidak dibenarkan bekerja di sana.

“Kami sedang memikirkan untuk membawa belia kita untuk bekerja dengan kaedah baharu, dalam suasana lebih baik dengan keperluan tempat tinggal dan pengangkutan akan diatur, terutamanya apabila pasar borong moden siap diubah suai.

“Jika sebelum ini warga gelandangan ditawar gaji sekitar RM1,400 hingga RM1,600 dalam sektor perkilangan, saya berunding (untuk gaji) sehingga RM2,400 kepada mereka yang mahu bekerja di pasar borong,” katanya ketika siaran langsung Facebook di sini, pada Rabu seperti dipetik Bernama.

Katanya selain itu, pihaknya telah mengenal pasti beberapa tapak di sekitar ibu kota bagi membina kafetaria, gazebo, warung kecil atau kedai, selain pondok bas dan stesen LRT untuk menyediakan peluang perniagaan kepada golongan muda.