KUALA LUMPUR: Bekas Naib Canselor Universiti Malaya Datuk Profesor Emeritus Dr Hashim Yaacob menulis warkah terbuka kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Maka dengan rendah hati, anakanda memohon ayahanda Tun supaya menimbang semula akan dua hasrat ayahanda terdahulu. Ayahanda Tun duduklah bersama barisan Parti Bersatu, iaitu parti ayahanda Tun sendiri,” katanya.

“Ayahanda pertimbangkanlah untuk menarik balik usul tidak percaya kepada PM YAB Muhyiddin Yassin di Parlimen’ katanya dalam warkah itu.

“Dalam fikiran anakanda, tindakan ayahanda Tun elok difikirkan semula. Ayahanda Tun adalah Penasihat kepada Parti Bersatu yang memerintah negara kita. Kalau ayahanda Tun berbuat demikian nanti, maka akan menjadi jelaslah kepada rakyat bahawa Parti Bersatu yang telah ayahanda Tun tubuhkan dengan susah payah, sudah berpecah kepada entah berapa puak,”  katanya.

“Bukan senang untuk anakanda menulis surat terbuka seperti ini. Oleh kerana anakanda sayangkan ayahanda Tun, dan juga kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin serta negara kita, yang perjuangannya belum selesai, maka anakanda memberanikan diri menulis juga,” katanya lagi.

“Walaupun anakanda pernah mengutus surat-surat yang tidak penting kepada ayahanda sebanyak lapan kali sewaktu ayahanda Tun menjadi Perdana Menteri Kerajaan PH dulu, dan ayahanda Tun tidak sekali pun membalasnya, itu tidak mengapa, kerana yang pernah anakanda tulis itu hanyalah hanyalah bersifat peribadi sahaja,” kata beliau.

“Maka itu, anakanda memilih cara ini untuk menyampaikan hasrat. Surat yang anakanda tulis ini adalah penting untuk sampai ke tangan ayahanda Tun, supaya dapat ayahanda membuat pertimbangan. Kalau baik, sudilah ayahanda Tun pertimbangkan,” katanya dalam surat itu yang turut disiarkan dalam Bebas News.