KUCHING: Kerajaan Sarawak menegaskan bahawa ia mempunyai dana kecemasan atau luar jangka untuk digunakan pada waktu kecemasan.

Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri menjelaskan, dana kecemasan merupakan satu daripada langkah untuk mengurus perbelanajaan dan memobilisasi sumber kewangan.

“Ia diwujudkan untuk memenuhi perbelanjaan segera dan luar jangka kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ini sekali gus menangkis kenyataan tanpa asas bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Wong Soon Koh yang mendakwa tiada dana kecemasan diperuntukkan dalam Belanjawan 2020, dan  hanya RM250 juta diperuntukkan dalam Belanjawan 2019.

“Kajian semua terakhir dilakukan dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada November 2018 apabila peruntukan ditambah daripada RM250 juta kepada RM500 juta berkuat kuasa 2019,” jelasnya lagi.

“Hal ini dengan jelas dinyatakan dalam Ucapan Belanjawan yang dibentangkan dalam persidangan DUN November 2018 apabila tambahan RM250 juta diperuntukkan untuk akaun dana kecemasan,” tegasnya.

“Peruntukan baharu atau siling RM500 juta untuk dana kecemasan dicerminkan dalam ‘State 2019 Unaudited Financial Statement’,” katanya.

Pejabat berkenaan juga menjelaskan, tiada keperluan untuk membentangkan dana kecemasan untuk 2020 , yang sudah diperuntukkan dengan siling RM500 juta, dalam Belanjawan Negeri.

Dalam ucapan di persidangan DUN Sarawak Isnin lalu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menzahirkan rasa terkejutnya dengan dakwaan  Wong yang juga Adun Bawang Assan  itu yang mempersoalkan keupayaan kewangan Kerajaan Sarawak untuk membiayai Bantuan Sarawakku Sayang.

Soon Koh yang juga bekas Menteri Kewangan menyatakan kerajaan tidak memperuntukkan dana luar jangka  untuk 2020.

“Adalah sukar difahami bagaimana seseorang yang pernah menjadi Menteri Kewangan di Sarawak untuk 15 tahun begitu tidak faham tentang sistem kewangan negeri, apatah lagi mekanisme kewangan yang beliau sendiri sokong sebelum meletak jawatan kurang daripada setahun lalu,” kata Uggah membidas Soon Koh yang juga Presiden PSB dalam ucapan di persidangan Dewan Undangan Negeri, Isnin lalu.

Secara keseluruhannya, jumlah keseluruhan suntikan dana untuk Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 2020 ialah RM2.55 bilion, iaitu melalui BKSS 1.0 berjumlah RM1.15 bilion; BKSS 2.0 berjumlah RM1.11 bilion; dan  BKSS 3.0 berjumlah RM0.30 bilion.

Bantuan tersebut bukan sahaja meringankan beban kewangan rakyat, tetapi juga membantu menyelamatkan sektor ekonomi dan perniagaan di negeri ini.

Ia disambut baik oleh rakyat terutama golongan B40 dan miskin serta pekerja harian susulan langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan Covid-19.