MIRI: Brunei Darussalam tidak mencatatkan sebarang kes positif Covid-19 selama empat hari berturut-turut.

Jumlah keseluruhan yang dijangkiti setakat ini kekal 141 kes.

Susulan usaha mengesan kontak rapat bagi kes 139,140 dan 141, sejumlah 114 kontak telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan kewemkua mereka disahkan negatif daripada jangkitan virus berkenaan.

Menteri Kesihatannya Dr Mohd Isham Jaafar seperti dipetik Borneo Bulletin mengumumkan data berkenaan pada sidang medianya, semalam.

“Alhamdulillah, tiada kes baharu Covid-19 di negara ini,” katanya.

“Dengan itu, jumlah keseluruhan Covid-19 di Brunei Darussalam kekal 141 kes,” katanya.

Jelasnya, tiada kes yang sembuh semalam, justeru jumlah kes sembuh kekal 134.

Terdapat enam kes aktif, dan dua daripadanya dilaporkan dalam keadaan kritikal.

“Dalam tempoh 24 jam lalu, 169 sampel diuji menjadikan jumlah ujian dijalankan sejak Januari lalu, sebanyak 16,037,” kata akhbar itu lagi.